BANGKOK, 26 JAN – Thailand dan Arab Saudi setuju memulihkan kembali hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada mesyuarat peringkat tinggi pertama yang diadakan sejak lebih tiga dekad di Riyadh baru-baru ini.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud ketika sesi mesyuarat rasmi kelmarin, bersetuju memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, menurut satu kenyataan bersama.
Kedua-dua pemimpin bersetuju melantik duta ‘dalam masa terdekat’ dan menubuhkan mekanisme rundingan untuk membentuk kerjasama dua hala, kata kenyataan itu.
“Langkah bersejarah itu adalah hasil usaha jangka panjang di pelbagai peringkat di kedua-dua pihak demi memulihkan kepercayaan dan hubungan.
“Koordinasi intensif akan dimulakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membincangkan kerjasama dua hala yang melibatkan bidang strategik utama,” menurut kenyataan bersama itu, yang disediakan Kementerian Luar Thailand.

Pengumuman itu menandakan berakhirnya hubungan buruk antara kedua-dua negara sejak tiga dekad.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan keazaman menyelesaikan semua isu tertangguh antara Thailand dan Arab Saudi.
Ia berkata kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan mengukuhkan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara serta membuka lembaran baharu.
“Kedua-dua pihak juga mengulangi komitmen melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan wakil kedutaan di negara masing-masing,” katanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pengukuhan dan meningkatkan hubungan ekonomi serta perdagangan dengan meneroka pelaburan dan peluang menerusi konteks Wawasan Saudi 2030 dan agenda pembangunan negara Thailand, Bio-Circular-Green Economy.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju meneroka bidang kerjasama baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui, alam sekitar, transformasi digital dan keselamatan siber.
“Mereka turut menekankan kepentingan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat, yang menjadi asas kepada perkembangan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, serta menggalakkan dialog antara agama dan pelbagai budaya,” katanya.
Prayuth mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi kelmarin, atas jemputan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, seterusnya menamatkan hubungan dingin antara kedua-dua negara sejak 1989. – Bernama