Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand bakal dakwa bekas ketua polis

    BANGKOK, 27 FEB –Pendakwa raya di Thailand mengumumkan hari ini mereka akan mendakwa seorang bekas ketua polis negara atas tuduhan menghalang tindakan undang-undang terhadap pewaris minuman tenaga Red Bull yang dituduh membunuh seorang pegawai polis Bangkok dalam kejadian langgar lari 2012.

    Beberapa pegawai kerajaan dan pegawai polis turut dituduh melakukan konspirasi untuk membantu Vorayuth ‘Bos’ Yoovidhya melarikan diri dari keadilan ke luar negara.

    Vorayuth ialah cucu kepada Chaleo Yoovidhya, salah seorang pencipta jenama Red Bull yang terkenal di dunia. Majalah Forbes meletakkan nilai bersih keluarga itu pada AS$20 bilion.

    Ketua polis pada 2014-15, Somyot Poompanmoung, dan suspek lain didakwa atas tuduhan salah guna kuasa untuk membantu seseorang individu mengelak daripada didakwa.

    Somyot didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara itu tahun lalu terlibat dalam campur tangan terhadap bukti dengan mengubah rekod kelajuan kereta yang didakwa dipandu Vorayuth ketika kemalangan itu.

    Pejabat Peguam Negara berkata, ia juga akan mendakwa tujuh orang lain termasuk pegawai polis, seorang peguam, seorang pakar kejuruteraan dan seorang bekas timbalan peguam negara berhubung kes itu.

    Vorayuth dipercayai memandu kereta Ferrari yang melanggar belakang motosikal anggota polis trafik di jalan utama Bangkok. Pegawai itu, Wichean Klunprasert, tercampak dari motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Keluarga Wichean telah memberitahu media Thailand mereka menerima pampasan sebanyak AS$83,000 daripada keluarga Yoovidhya sebagai pertukaran untuk mereka tidak meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya. – AP

    Gambar fail menunjukkan Vorayuth berjalan untuk menaiki kereta ketika dia meninggalkan sebuah rumah di London, pada 5 April 2017. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda