BANGKOK, 30 Mac – Junta Thailand akan membatalkan satu pengharaman empat tahun yang dikenakan ke atas aktiviti politik pada Jun, kata seorang pegawai hari ini, tatkala ruang untuk perdebatan berkembang secara beransur-ansur di negara itu dengan pilihan raya dijangka diadakan pada tahun depan.
Perhimpunan politik yang terdiri daripada lima orang atau lebih telah pun diharamkan sejak tentera Thailand merampas kuasa dalam satu rampasan pada Mei 2014, menyingkir kerajaan Yingluck Shinawatra.
Jeneral, yang berkali-kali menangguhkan janji untuk mengembalikan demokrasi, menegaskan pilihan raya akan diadakan ‘tidak lewat’ daripada Februari 2019.
Namun sementara parti-parti telah dibenarkan mendaftar sebelum pilihan raya, mereka masih dilarang daripada membincangkan dasar atau bertemu tanpa kebenaran junta.
Ahli politik telah menuntut pengharaman dibatalkan, sementara pengkritik menuduh junta cuba melengah-lengahkan masa untuk merangsang peluang parti-parti baharu yang dikaitkan dengan tentera dalam pilihan raya akan datang.

Seorang jurucakap kementerian pertahanan berkata moratorium itu akan dibatalkan tidak lama lagi, mengesahkan komen pemimpin nombor dua junta kepada akhbar tempatan semalam.
“Rancangan awal adalah pengharaman dibatalkan pada Jun untuk membolehkan parti yang baru ditubuhkan membuat persediaan,” beritahu Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich kepada AFP.
“Sementara parti besar sekarang sudah pun bersedia, parti baharu memerlukan masa, mereka akan memulakan aktiviti bersama mereka pada Jun,” tambah beliau.
Suasana terhad itu telah menimbulkan persoalan mengenai rombakan pemimpin dalam blok terbesar Thailand, parti Pheu Thai, yang telah menguasai pilihan raya berdekad-dekad lamanya tetapi berkali-kali dibelenggu rampasan dan keputusan mahkamah.
Puak berkenaan, musuh junta dan golongan elit Bangkok – tidak mempunyai pemimpin selepas kedua-dua ketua diusir dari negara selepas rampasan kuasa pada 2006 dan 2014.
Pasangan dalam buangan itu, bekas perdana menteri dan adik-beradik Yingluck dan Thaksin Shinawatra, muncul di khalayak ramai pada satu pelancaran buku untuk menteri Jepun di Tokyo semalam.
Penganalisis berkata kedua-dua pemimpin tidak mungkin kembali ke Thailand pada bila-bila masa terdekat ini selepas disabitkan bersalah atas dakwaan menerima rasuah tanpa hadir di mahkamah. – AFP