Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand beri amaran terhadap berita palsu

    BANGKOK, 5 JUN – Thailand memberi amaran terhadap penyebaran berita palsu yang boleh memburukkan lagi ketegangan berhubung pertikaian sempadannya dengan Kemboja, ketika Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra menggesa usaha bersepadu dalam menangani isu berkenaan dan mengelakkan kegusaran awam.

    Jurucakap Kerajaan, Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri mengarahkan semua kementerian, termasuk agensi keselamatan dan Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat, supaya memantau rapat serta membendung penyebaran maklumat palsu yang boleh mencetuskan pergolakan atau memburukkan keadaan.

    “Perdana Menteri juga menggesa kerjasama daripada semua saluran media, termasuk platform media sosial dan pihak berkaitan lain agar tidak mencetuskan atau memburukkan konflik, kerana tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

    Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan telah mengorbankan seorang askar Kemboja.

    Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

    Jirayu berkata Kementerian Luar telah dilantik sebagai badan utama untuk menyediakan penjelasan rasmi, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan.

    Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan Thailand dan menyelesaikan pertikaian mengikut kerangka undang-undang dan perjanjian sedia ada dengan Kemboja, khususnya di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) 43. – Bernama

    Jirayu Huangsap semasa menjadi jurucakap mengenai penyebaran maklumat tepat, di Bangkok pada 5 Jun. – ANN/The Nation
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda