BANGKOK, 18 MAC – Ketua Formula One (F1), Stefano Domenicali, mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand hari ini mengenai rancangan untuk membawa Grand Prix ke negara tersebut.
Bekas ketua Ferrari dari Itali yang baru sahaja melanjutkan kontraknya untuk memimpin sukan tersebut sehingga 2029, berminat untuk meneroka pasaran baharu ketika sukan itu semakin meningkat popularitinya, dan Thailand telah mencadangkan bahawa negara itu mungkin berminat.
Sebahagian besar jadual 24 perlumbaan Formula One sudah ditetapkan untuk beberapa tahun, tetapi kekosongan dijangka akan terbuka dan Domenicali mencadangkan pada hujung minggu lalu bahawa Thailand boleh menjadi calon untuk menyertai litar tersebut.
Selepas perbincangan itu, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berkata Thailand akan meneruskan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai kelebihan dan kelemahan menjadi tuan rumah F1 termasuk kos dan tempat perlumbaan itu dijalankan.
“Ia bukan sekadar tentang penghormatan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan, tetapi juga peluang yang signifikan untuk membangunkan infrastruktur bandar, menyambut pelancong dari seluruh dunia ke Thailand dan membangunkan sektor industri dan perkhidmatan,” katanya di platform media sosial X.
Litar Buriram di timur laut Thailand telah menjadi tempat tetap dalam kalendar MotoGP, menjadi tuan rumah perlumbaan pembukaan musim pada bulan ini, tetapi negara itu belum pernah menjadi tuan rumah F1.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub berkata perdana menteri memberitahu Domenicali bahawa Thailand akan bekerjasama dengan pegawai F1 untuk melihat bagaimana Grand Prix boleh diadakan di negara tersebut.
Domenicali melawat Bangkok pada April tahun lepas untuk perbincangan dengan perdana menteri ketika itu, Srettha Thavisin, yang mengemukakan visinya untuk membawa perlumbaan ke ibu kota Thailand yang luas dan sesak dengan trafik. – AFP
