Thailand buka semula sektor pelancongan

BANGKOK, 21 OKT – Thailand kini mengalu-alukan sekumpulan pelancong pertama ke negara itu selepas tujuh bulan menutup sektor pelancongannya, sebagai sebahagian daripada percubaannya untuk membuka semula sektor tersebut ketika berdepan dengan krisis pandemik koronavirus yang masih mencengkam ekonomi negara itu.

Seramai 39 pelancong China tiba di Lapangan Suvarnabhumi Bangkok kelmarin dari Shanghai dengan disambut oleh sekumpulan petugas lapangan terbang berkenaan dalam protokol keselamatan yang ketat.

Para pelancong menjalani pemeriksaan kesihatan dengan barang-barang mereka perlu melalui pembasmian kuman sebelum mengenakan pakaian pelindung dan dibawa ke penempatan kuarantin dan diasingkan di sana selama dua minggu.

“Ia merupakan satu langkah keselamatan yang perlu dijalani oleh pelancong agar mereka yakin dengan piawaian keselamatan kami di sini,” kata Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul dalam satu kenyataan.

“Saya mengarahkan pegawai untuk menjaga kesejahteraan pelancong, kerana jika mereka selamat, pendudukThailand juga selamat.”

Pemandangan umum Lumphini di Bangkok, sebuah kawasan yang menempatkan hotel pencakar langit di Bangkok. Thailand kini mengalu-alukan sekumpulan pelancongan selepas menutup sektor pelancongannya selama tujuh bulan. – AFP

Wabak ini telah menyebabkan ekonomi negara Asia Tenggara terjejas, dengan lapan juta orang dijangka kehilangan pekerjaan pada akhir tahun ini.

Sebilangan besar kerugian melanda sektor pelancongan di negara yang menyaksikan 40 juta kedatangan antarabangsa pada tahun 2019.

Pelancong tiba di negara itu dengan menggunakan skim visa pelancongan khas, yang menawarkan 1,200 tempat dan membolehkan mereka berada di negara itu sehingga sembilan bulan.

Angka ketibaan jauh lebih kecil daripada 150 orang yang diberitahu oleh pihak berkuasa bulan lalu.

Pegawai pelancongan enggan memberikan alasan, tetapi menegaskan ia tidak berkaitan dengan rusuhan yang berlaku baru-baru ini antara penunjuk perasaan pro-demokrasi dan polis di ibu negara Thailand dan di tempat lain.

Konsultan pelancongan Bill Barnett mengakui rusuhan yang berterusan itu akan merosakkan imej Thailand.

“Thailand akan berdepan dengan masalah ekonomi jika tiada pelancongan kembali ke negara ini,” tambahnya. – AFP