Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand capai 10 juta pelancong

    BANGKOK, 11 DIS – Thailand menyambut ketibaan pelawat antarabangsa ke-10 juta pada 2022 semalam, menurut pihak berkuasa pelancongan, sekali gus menandakan pemulihan sektor pelancongannya yang terjejas akibat COVID.

    Thailand merekodkan kira-kira 40 juta pelawat pada 2019, tetapi bilangan itu merosot susulan pandemik dan perjalanan terkesan ketika negara memperketat kawalan sempadan untuk membendung penularan koronavirus.

    Dengan sekatan berkenaan dilonggarkan di seluruh negara, jumlah pelancong Thailand telah mencatat pemulihan dan kerajaan menjangka memperoleh AS$16 bilion hasil daripada pelancongan pada tahun ini.

    Penari tradisional di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok semalam menyambut penumpang yang tiba dalam penerbangan Saudi Arabian Airlines yang dipercayai mencatat pelancong ke-10 juta.

    “Ruang udara sudah dibuka,” kata Perdana Menteri Thai, Prayut Chan-O-Cha dalam ucapan di lapangan terbang.

    “Kami ingin membina keyakinan bahawa Thailand masih menjadi antara destinasi untuk pelancongan di dunia.”

    Menteri Kewangan, Arkhom Termpittayapaisith berkata pada minggu ini bahawa jumlah pelawat juga dijangka meningkat pada tahun depan.

    Angka dari kerajaan mencadangkan Thailand akan mengalu-alukan kira-kira 23 juta pelancong pada 2023, sementara beberapa penganalisis berpendapat pemulihan penuh dalam bilangan pelancong mungkin berlaku pada 2024. – AFP

    Pelancong bergambar di kuil Buddha Wat Arun di Bangkok pada 9 Disember 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda