BANGKOK, 18 MAC – Tindakan tegas kerajaan Thailand berjaya memberi kesan besar terhadap rangkaian jenayah yang menjalankan penipuan pusat panggilan, dengan kes jenayah siber mencatatkan penurunan ketara sejak operasi penguatkuasaan diperhebatkan awal Februari.
Timbalan Perdana Menteri, Prasert Jantararuangtong berkata bahawa selepas pelaksanaan tindakan seperti pemotongan bekalan elektrik, bahan api dan sambungan Internet di kawasan sempadan – lokasi utama operasi sindiket penipuan – jumlah kes jenayah siber di Thailand setakat ini menurun sebanyak 20 peratus, dengan 25,487 kes direkodkan sejak 5 Februari.
“Kes penipuan pusat panggilan, antara modus operandi paling mudah bagi penjenayah telah berkurang dengan ketara sebanyak 67 peratus,” katanya dalam sidang media yang dipetik Xinhua.
Sebelum ini, lebih 1,000 kes jenayah siber dilaporkan setiap hari, katanya.
Menurut data Pusat Operasi Anti-Penipuan Dalam Talian Thailand, kerugian kewangan akibat penipuan siber menurun sebanyak 200 juta baht (kira-kira AS$5.95 juta) dalam tempoh sebulan yang lalu.
Perbandingan tahunan antara Januari dan Februari tahun ini dengan tempoh yang sama tahun lalu menunjukkan penurunan 30 peratus dalam jumlah kerugian kewangan keseluruhan khususnya dalam penipuan akses jauh, pinjaman dan pelaburan. – Bernama
