BANGKOK, 1 Ogos – Menteri dalam negeri Thailand, Anupong Paochinda, semalam mengarahkan gabenor di seluruh wilayah utara negara itu untuk bersedia membuat pemindahan penduduk tatkala paras air kian meningkat di Sungai Mekong.
Sebelum tengah hari kelmarin, Sungai Mekong telah melebihi tebing, menyebabkan air mengalir ke pinggir sungai di Mukdahan.
Gabenor Mukdahan, Paithoon Rakprathet berkata bahawa paras air di pusat hidrografi Mukdahan pada ketinggian 12.54 meter, empat sentimeter lebih tinggi daripada ‘paras maksimum’ yang telah ditetapkan pada ketinggian 12.50m.
Di Pasar Indochina, beratus-ratus pengusaha telah memindahkan barangan mereka ke tempat yang lebih tinggi.
“Selain daripada banjir monsun, air yang keluar dari Empangan Nam Ngum 5 di Laos ke Wilayah Nong Khai telah menyebabkan paras air meningkat di sungai,” kata Paithoon. “Dan disebabkan ini, kami terpaksa mengisytiharkan daerah-daerah Muang dan Dong Luang sebagai zon bencana banjir.”
Kolonel Boonsin Padklang, komander tentera di Mukdahan, telah mengerahkan pasukan tentera untuk membantu mangsa banjir.
Trak tentera juga turut dikerahkan ke kawasan yang dilanda banjir bagi membawa penduduk ke tempat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Pengawalan Bencana kelmarin berkata mengisytiharkan amaran bahawa 20 wilayah utara mempunyai risiko banjir akibat hujan lebat yang berpanjangan.
Manakala, tempat yang diberikan amaran bahaya berlakunya banjir kilat adalah di Chiang Rai dan enam wilayah timur laut Mukdahan, Nakhon Phanom, Sakon Nakhon, Yasothon, Roi Et dan Ubon Ratchathani. Ini kerana hujan lebat yang berterusan di utara dan tengah Laos dijangka akan menaikkan paras air di Sungai Mekong. – Xinhua