BANGKOK, 6 JULAI – Thailand telah menggesa Kemboja agar menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) dan kembali ke rundingan Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) serta tidak membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kementerian Luar Thailand hari ini, sekali lagi mengulangi gesaannya agar Kemboja kembali ke meja rundingan melalui mekanisme JBC bagi menyelesaikan pertikaian sempadan yang berterusan dan tidak memburukkan keadaan dengan membawa isu tersebut ke ICJ.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Kemboja memfailkan kes ke ICJ dengan mendakwa hak pemilikan terhadap empat tapak bersejarah iaitu Prasat Ta Muen Thom, Prasat Ta Muen Toch, Prasat Ta Khwai dan Segi Tiga Zamrud.
Thailand turut menolak dakwaan Kemboja bahawa Bangkok menggagalkan proses rundingan melalui JBC.
Dalam mesyuarat JBC yang terkini di Phnom Penh, Kemboja dilaporkan enggan memasukkan empat tapak yang menjadi pertikaian dalam agenda perbincangan dua hala.
Dalam kenyataan JBC, kementerian menjelaskan, kedua-dua negara telah menandatangani MoU pada tahun 2000, yang menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan secara eksklusif melalui JBC.
Kementerian Luar turut menegaskan, MoU tersebut tidak menyebut penggunaan ICJ atau mana-mana mekanisme pihak ketiga, justeru Kemboja perlu menghormati perjanjian itu dengan terus terlibat dalam rundingan menerusi JBC.
Tambah kementerian itu, Thailand tidak melanggar mana-mana syarat dalam MoU berkenaan.
Kementerian tersebut mengakhiri kenyataan dengan menyeru Kemboja agar menghormati MoU dan terlibat secara konstruktif dalam rundingan dua hala menerusi JBC bagi menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman. – ANN/The Nation


