Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand digesa benarkan PBB nilai status pelarian Rohingya

    BANGKOK, 7 JUN – Sekumpulan etnik Rohingya yang ditinggalkan di sebuah pulau Thailand selepas perjalanan laut yang merbahaya dari Bangladesh patut diberi bantuan dan peluang untuk menentukan sama ada mereka pelarian, Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) berkata hari ini.

    Tentera laut Thailand berkata, 59 orang Rohingya berkenaan yang meninggalkan sebuah pulau di Laut Andaman telah belayar dari Bangladesh menggunakan bot-bot nelayan besar. “Tetapi apabila mereka sampai, kapten kapal itu membawa mereka ke pulau berkenaan dan berkata ia adalah Malaysia,” menurut kenyataan tentera laut berkenaan.

    Kumpulan terdiri daripada 31 lelaki, 23 wanita, tiga budak lelaki dan dua budak perempuan itu telah ditahan selepas ditemui pada Sabtu di pulau selatan Koh Dong.

    Tentera laut berkenaan berkata, ia akan terus mengikut prosedur standard Thailand, termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan, bagi orang yang dianggap bermigrasi secara haram.

    HRW berkata, Thailand wajib menilai tuntutan bagi perlindungan pelarian sebelum cuba memulangkan mereka.

    “Untuk melindungi pencari suaka Rohingya, adalah penting bagi kerajaan Thailand untuk membenarkan Pejabat Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNCHR) menjalankan temu bual bagi menentukan status pelarian,” kumpulan yang berpangkalan di New York itu berkata dalam satu kenyataan.

    “Kerajaan Thailand perlu menamatkan dasarnya yang terus menahan Rohingya yang diselamatkan daripada bot dan lepas tangan,” kata Elaine Pearson, pemangku pengarah Asia HRW.

    “Thailand perlu membenarkan agensi pelarian PBB untuk menyaring semua Rohingya yang tiba di Thailand untuk mengenal pasti dan membantu mereka yang ingin mendapatkan status pelarian,” tambahnya. – AP

    Gambar yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Thailand, diambil pada 4 Jun, menunjukkan pelarian Rohingya menikmati hidangan selepas ditemui di Pulau Koh Dong, wilayah Satun, selatan Thailand. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda