BANGKOK, 18 SEPT – Thailand mesti mengharamkan pembakaran sisa tanaman oleh petani untuk meningkatkan kualiti udara, kata ketua badan pertanian terkemuka hari ini, selepas peningkatan pencemaran berbahaya menyebabkan berjuta-juta orang memerlukan rawatan perubatan.
Negara itu mengalami kualiti udara yang teruk pada awal tahun ini, dengan Bangkok dan bandar utara Chiang Mai disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia pada beberapa hari April.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah dan bekerja dari rumah ketika kepekatan zarah PM2.5 – sangat kecil sehingga boleh memasuki aliran darah – yang paling berbahaya mencapai tahap tidak selamat.
Salah satu sumber utama zarah berkenaan adalah petani membakar tunggul untuk menyediakan tanah bagi tanaman seterusnya, dengan ‘musim pembakaran’ memuncak antara Disember dan April.
Ketua badan pertanian tertinggi negara itu berkata, amalan itu mesti dihentikan.
“Kerajaan harus mengharamkan pembakaran tanaman – kaedah yang digunakan secara meluas dalam kalangan petani di Thailand,” kata Pornsil Patcharintanakul, presiden Thai Feed Mill Association (TFMA), yang beroperasi di bawah kementerian perdagangan.
Beliau menggesa kerajaan Perdana Menteri Srettha Thavisin mengambil tindakan segera kerana perkara itu mendesak.
Lebih dua juta orang mendapatkan rawatan perubatan di Thailand tahun ini kerana masalah yang dikaitkan dengan pencemaran udara. – AFP