Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand guna helikopter bendung kebakaran hutan gunung

    BANGKOK, 30 MAC – Pihak berkuasa Thailand hari ini menggunakan helikopter untuk cuba membendung kebakaran yang semalaman melanda dua gunung di kawasan hutan yang sebahagian besarnya belum dibangunkan di wilayah timur laut ibu kota Bangkok.

    Kebakaran tercetus malam tadi di wilayah Nakhon Nayok, 114 kilometer timur laut Bangkok, tetapi anggota bomba tidak dapat membendungnya secara langsung kerana gunung terlalu curam untuk didaki dengan selamat, terutama dalam kegelapan malam, kata gabenor wilayah itu, Bancha Chaowarin kepada wartawan.

    “Selain arah angin, saya juga perlu menjaga nyawa dan keselamatan mereka yang menjalankan operasi. Selepas meninjau keadaan, memandangkan ia berada di puncak gunung, kami terpaksa berundur untuk bersiap sedia dan berbincang mengenai apa yang boleh kami lakukan,” kata Bancha lewat malam tadi.

    Sekurang-kurangnya 10 kenderaan pemadam kebakaran telah dikerahkan untuk memadam kebakaran, dan petang hari ini ia disertai oleh sekurang-kurangnya dua helikopter, yang meninjau keadaan dan menyimbah air.

    Usaha-usaha awal untuk mengawal kebakaran telah tertumpu pada mewujudkan langkau api.

    Bancha dipetik oleh akhbar Thai Rath sebagai berkata, pada mulanya kebakaran itu dianggarkan boleh dikawal dalam tempoh lima hari, tetapi beliau akan cuba melakukannya dalam masa tiga hari sahaja.

    Kebakaran hutan lain telah berlaku beberapa hari kebelakangan ini di wilayah lebih utara apabila suhu bermusim meningkat, masalah berterusan yang menyumbang kepada tahap pencemaran udara yang sangat tinggi. – AP

    Sebuah helikopter melepaskan air di kawasan titik panas kebakaran hutan di wilayah Nakhon Nayok, timur laut Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP
    Api dan asap kelihatan akibat kebakaran hutan di wilayah wilayah Nakhon Nayok, 114 kilometer (70 batu) timur laut Bangkok, Thailand, kelmarin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda