BANGKOK, 16 FEB – Thailand telah menghantar pulang 10 warga China yang dikaitkan dengan tuduhan penculikan berprofil tinggi seorang pelakon yang diselamatkan dari pusat penipuan siber di Myanmar, kata polis Thailand kepada AFP kelmarin.
Suspek adalah sebahagian daripada kumpulan yang beroperasi di Myawaddy, Myanmar dan dituduh terlibat melakukan penipuan terhadap warga China, termasuk pelakon Wang Xing, menurut kenyataan polis Jumaat lalu.
“Kumpulan itu telah dihantar pulang (ke China) pada awal petang semalam,” kata seorang pegawai polis kepada AFP kelmarin.
Mereka telah diterbangkan keluar dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok dengan polis imigresen Thailand mengiringi mereka.
Kebimbangan terhadap kegiatan penipuan siber meningkat selepas pelakon Wang diselamatkan dari pusat penipuan di Myanmar bulan lalu.
Wang berkata, dia tertarik untuk pergi ke Thailand atas janji untuk mengikuti uji bakat, akan tetapi telah di seludup merentasi sempadan.
Susulan penyelamatannya, kumpulan itu melarikan diri dari Myanmar untuk berpindah ke Kemboja sebelum ditangkap di Thailand, kata seorang pegawai kanan polis Thatchai Pitaneelaboot, yang mengetuai usaha menentang pemerdagangan manusia, dalam kenyataan Jumaat lalu. – AFP
