BANGKOK, 21 MAC – Seramai 4,895 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah dihantar pulang ke negara masing-masing, menurut Kementerian Luar Thailand.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan merangkap Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, berkata berdasarkan maklumat yang diterima pada 11 Mac dari Myanmar, pihak berkuasa Thailand memperoleh senarai 7,372 warga asing yang telah diselamatkan di negara itu.
“Daripada jumlah keseluruhan yang di-selamatkan, Kementerian Luar Thailand telah memudah cara penghantaran pulang 4,895 individu ke negara asal masing-masing. Majoritinya adalah warga China seramai 3,634 orang, diikuti 653 warga Indonesia, 549 warga India, dan lain-lain daripada pelbagai kewarganegaraan,” katanya pada sidang media hari ini.
Nikorndej menyatakan kira-kira 2,400 individu atau mungkin lebih masih berada di Myanmar.
“Kementerian Luar Thailand akan terus berkoordinasi rapat dengan kedutaan asing bagi memastikan penghantaran pulang mereka dapat dilaksanakan dengan segera,” tambahnya.
Pada 6 Mac, Kementerian Luar Thailand mengumumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk menghantar pulang 1,500 individu, atau 300 orang setiap hari bekerja, dengan penghantaran pulang warga China dijadualkan setiap Rabu, Khamis, dan Jumaat. – Bernama
