SONGKHLA, 22 DIS – Thailand menghormati keputusan pihak berkuasa Malaysia menutup pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Komander Tentera Darat Bahagian ke-4 Thailand, Lt Jen Paisan Nusang berkata undang-undang yang ada sepatutnya dihormati dan rakyat di kedua-dua negara perlu mengamalkan cara hidup seperti tertakluk dalam undang-undang.
Beliau berkata rakyat di kedua-dua negara perlu menggunakan laluan yang diwartakan jika tidak mahu berdepan masalah.
“Setakat ini, terdapat rakyat Thailand ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana menyeberangi sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan ditahan di Depot Tahanan di Tanah Merah.
“Tindakan pihak berkuasa Malaysia itu sebenarnya satu langkah positif dan tepat bagi memastikan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand lebih terjamin,” katanya kepada pemberita menggunakan penterjemah tempatan, sempena lawatan khas media Kelantan ke atas pihak berkuasa Thailand baru-baru ini.
Paisan berkata walaupun rakyat di kedua-dua negara telah lama menetap di kawasan persempadanan dan menggunakan pangkalan haram sebagai laluan harian, ia telah banyak menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa kerana berlaku kegiatan penyeludupan tidak terkawal. – Bernama