Monday, November 18, 2024
32.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand hukum pemain, pegawai bola sepak

    BANGKOK, 23 MEI – Bola sepak Thailand hari ini menjatuhkan hukuman larangan yang panjang ke atas dua pemain, dua pegawai dan seorang jurulatih berhubung pergaduhan yang menjejaskan perlawanan akhir lelaki di Sukan Asia Tenggara.

    Indonesia menewaskan Thailand 5-2 dalam masa tambahan di Phnom Penh minggu lalu tetapi perlawanan itu bertukar ganas apabila pemain dan kakitangan kedua-dua pihak bergaduh di tepi padang.

    Tiga pemain Thailand dibuang padang.

    FA Thai memohon maaf dan berjanji membuat penyiasatan segera, dan pada hari ini mengumumkan penggantungan selama satu tahun daripada pasukan kebangsaan untuk seorang jurulatih penjaga gol dan dua pegawai pasukan.

    “Pasukan pencari fakta bersetuju sebulat suara bahawa sebagai orang dewasa, jurulatih penjaga gol dan pegawai pasukan harus cukup matang untuk mengawal keadaan dan menunjukkan contoh yang baik kepada pemain, yang berumur bawah 22 tahun,” kata FA Thai dalam satu kenyataan.

    “Mereka tidak sepatutnya mengetuai atau mengambil bahagian dalam insiden itu.”
    Bola sepak lelaki di Sukan SEA dwitahunan dimainkan antara pasukan bawah 23 tahun.

    Penjaga gol, Soponwit Rakyart, yang dilayangkan kad merah selepas berlari separuh padang dan menumbuk pihak lawan, telah digantung daripada pasukan kebangsaan selama enam bulan.

    Pemain gantian, Teerapak Pruengna turut dikenakan larangan enam bulan.

    Indonesia mara ke final dengan harapan dapat mengembalikan kebanggaan berikutan bencana stadium yang membawa maut dan kehilangan penganjur Piala Dunia Bawah 20 tahun. – AFP

    Reaksi pemain Indonesia Komang Teguh Trisnanda (tengah) dan pemain Thailand Soponwit Rakyart (kanan) semasa pergaduhan tercetus di luar perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh pada 16 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda