BANGKOK, 28 MAC – Perdana Menteri India, Narendra Modi akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke Thailand dari 3 hingga 4 April, dengan kedua-dua negara dijangka meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Strategik serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand menyatakan bahawa lawatan itu menandakan kunjungan rasmi pertama Modi ke Thailand dan merupakan lawatan pertama oleh pemimpin India dalam tempoh 12 tahun.
Lawatan atas jemputan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra itu akan merangkumi pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin.
“Kedua-dua pihak akan membincangkan cara untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk kerjasama politik dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan, hubungan pengangkutan, serta sains, teknologi dan inovasi – khususnya teknologi angkasa lepas yang menjadi keunggulan India.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu geopolitik serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama, serta kerjasama dalam kerangka pelbagai hala,” menurut kenyataan kementerian pada Jumaat.
Paetongtarn dan Modi dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian. – Bernama
