BANGKOK, 31 JAN – Kerajaan Thailand telah mengarahkan tindakan tegas terhadap petani yang melanggar larangan pembakaran sisa tanaman, ketika pencemaran di Bangkok meningkat hari ini, seminggu selepas udara beracun memaksa ratusan sekolah ditutup.
Asap daripada pembakaran sisa tanaman digabungkan dengan pelepasan kenderaan dan kilang, menyebabkan pencemaran udara di Bangkok dan bandar-bandar lain meningkat pada bulan-bulan awal tahun.
Pada pagi tadi, ibu kota Thailand berada di kedudukan ketujuh dalam senarai bandar paling tercemar di dunia yang disediakan oleh syarikat pemantauan udara IQAir.
Paras bahan pencemar PM2.5 boleh penyebab kanser apabile mikrozarah memasuki aliran darah melalui paru-paru, mencecah 86 mikrogram setiap meter padu, menurut IQAir.
Bacaan di atas 15 dalam tempoh 24 jam dianggap tidak sihat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Paras PM2.5 yang tinggi turut direkodkan hari ini di bandar utara Chiang Mai dan Udon Thani. Kelmarin kerajaan mengarahkan pihak berkuasa wilayah untuk menguatkuasakan larangan terhadap pembakaran jerami dan sisa tanaman, mewajibkan mereka melaporkan jumlah petani yang telah ditangkap kerana melanggar peraturan tersebut.
“Dalam setiap wilayah, jika awda membenarkan pembakaran jerami atau gagal melaksanakan langkah pencegahan, awda akan dihukum,” kata kerajaan Thailand dalam satu kenyataan, kelmarin.
Lebih daripada 1.1 juta sungkup muka perlindungan pencemaran telah diedarkan di seluruh negara dan kementerian kesihatan akan memantau kumpulan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil. – AFP