Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand jangka terima 1 juta pelancong China pada Oktober

    BANGKOK, 11 MEI – Pelancong China yang masuk ke Thailand dijangka akan mencecah 1 juta sebulan bermula Oktober, tahap yang dilihat sebelum pandemik COVID-19, berikutan permintaan semasa musim puncak dan kapasiti penerbangan tinggi.

    Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) telah melaporkan peningkatan jumlah pelancong dari tanah besar China, dengan ketibaan meningkat daripada 91,898 pada Januari kepada 285,000 yang dicatatkan pada April, ketika penerbangan disambung semula antara kedua-dua negara.

    Ketibaan pelancong China berkemungkinan melebihi 5 juta tahun ini memandangkan lebih 6 juta tempat duduk syarikat penerbangan tersedia yang menghubungkan China ke Thailand antara April dan Oktober, menurut Chuwit Sirivejkul, pengarah pemasaran serantau TAT untuk Asia Timur.

    Bergantung kepada jumlah penerbangan yang diperuntukkan semasa musim sibuk antara Oktober dan Mac, ketibaan tahunan boleh melonjak sehingga 7 juta, tambah Chuwit.

    Bermula bulan depan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand menjangkakan penerbangan dari China mencecah 430 setiap minggu, meningkat daripada lebih 100 pada masa ini.

    Chuwit menyatakan ketibaan harian pelancong China memuncak pada 18,000 hingga 20,000 semasa cuti Hari Pekerja awal bulan ini dan akan dijangkakan antara 8,000 dan 10,000 sehari pada bulan Mei.

    Angka ini merupakan peningkatan ketara daripada purata 2,500 pelawat sehari yang dicatatkan pada Februari sebelum perjalanan berkumpulan dibenarkan dari tanah besar China berikutan pengoptimuman dasar COVID-19 oleh China. – Xinhua

    Pelancong China semasa melawat Istana Besar di Bangkok, Thailand pada 1 Mei. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda