BANGKOK, 6 JULAI – Kementerian Kesihatan Awam Thailand sedang melakukan kajian mengenai suntikan vaksin COVID-19 ‘booster’ (penggalak) untuk kumpulan yang telah divaksin tetapi terdedah kepada risiko, khususnya petugas barisan hadapan, berikutan kebimbangan penularan varian Delta.
Penasihat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Udom Kachintorn berkata kajian itu sedang mempertimbangkan untuk memberikan vaksin Messenger RNA (mRNA) sebagai suntikan booster.
Bagaimanapun, ujar timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun, kajian itu masih diteliti untuk memastikan suntikan vaksinasi ketiga adalah yang paling selamat dan berkesan.
“CCSA dan Kementerian Kesihatan Awam ingin menegaskan bahawa keselamatan petugas barisan hadapan adalah paling utama dalam perjuangan ini,” kata Natapanu semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini. – Bernama