Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand kecewa dengan konflik baharu di Gaza

    BANGKOK, 23 MAC – Thailand menyatakan rasa kecewa terhadap pertempuran baharu di Gaza dan menggesa pembebasan tebusan, termasuk seorang warganegara Thailand.

    Israel pada Selasa melancarkan serangan baharu ke atas wilayah yang telah musnah akibat perang itu, sekali gus memecahkan ketenangan sejak gencatan senjata pada 19 Januari.

    Serangan tersebut, yang dianggap paling teruk sejak gencatan senjata berkuat kuasa, telah mengorbankan lebih 500 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan oleh Hamas.

    “Thailand sangat prihatin dan kecewa dengan pertempuran baharu yang meletus di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan Kementerian Luar Thailand yang dikeluarkan pada Jumaat.

    Negara Asia Tenggara itu menggesa ‘semua pihak agar menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi, menghentikan pertempuran dan meneruskan rundingan bagi melaksanakan gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tebusan’.

    Thailand turut menyeru pembebasan baki tebusan di Gaza, termasuk seorang warganegaranya serta pemulangan jenazah dua rakyat Thailand yang terkorban.

    Ketika serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, seramai 31 rakyat Thailand diculik, dengan 23 daripadanya dibebaskan pada akhir tahun tersebut dan dua disahkan meninggal dunia pada Mei.

    Lima lagi tebusan Thailand dibebaskan pada Februari lalu sebagai sebahagian daripada gencatan senjata terbaharu pada Januari, dengan seorang lagi warganegara Thailand dipercayai masih hidup di Gaza. – AFP

    Orang ramai duduk di hadapan sebuah bangunan yang musnah akibat serangan Israel di kem pelarian Nusseirat pada 20 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda