Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand kecualikan kuarantin pelancong lengkap vaksin

    BANGKOK, 27 SEPT – Bermula 1 November, pelancong dan pengembara lengkap vaksin COVID-19 yang mengunjungi Bangkok dan sembilan wilayah di Thailand dikecualikan menjalani kuarantin wajib dua minggu.

    Pengecualian merangkumi destinasi pelancongan seperti Krabi, Chiang Mai, Koh Phangnga, Pattaya, Bang Lamung, Jomtien dan Bang Sare di Chonburi, Hua Hin (Prachuap Khiri Khan) dan Koh Phayam (Ranong).

    Langkah terbaharu itu bertujuan menghidupkan kembali industri pelancongan Thailand yang terjejas akibat COVID-19.

    Ia susulan pengumuman, bermula 1 Oktober Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin 14 hari kepada tujuh hari untuk pelawat lengkap divaksin, manakala pelancong belum divaksin yang tiba melalui pengangkutan udara dikenakan 10 hari kuarantin dan mereka menggunakan laluan darat menjalani 14 hari kuarantin.

    Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah-langkah tersebut.

    Gambar fail 21 September menunjukkan pantai Cape Singh dari pemandangan di Liem Sing, Phuket ketika pelancong memanfaatkan program Phuket Sandbox bagi pelawat yang lengkap vaksin koronavirus. Negara itu akan mengecualikan kuarantin kepada pelancong lengkap vaksinasi bermula November ini bagi menghidupkan semula industri pelancongannya. – AFP

    Pada sidang media, jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata berkuat kuasa 1 Oktober, Bangkok dan 28 wilayah di kawasan “zon merah gelap” akan menyaksikan pembukaan semula lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan.

    “Ia termasuk pawagam, spa, perpustakaan, salun kecantikan dan klinik, ruang tatu, salun kuku dan tempat sukan. Perintah berkurung waktu malam akan dikurangkan sejam iaitu dari 10 malam hingga 4 pagi,” katanya.Taweesin berkata perintah darurat akan dilanjutkan hingga 30 November dan sedang menunggu kelulusan kabinet.

    Susulan kejayaan “Phuket Sandbox” dan “Samui Plus” yang dilancarkan pada Julai, Thailand yang bergantung kepada pelancongan berusaha membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan terkenal kepada pelancong lengkap divaksin. 

    Pada 2019, Thailand menarik hampir 40 juta pengunjung dan jumlahnya merosot kepada 6.7 juta tahun lalu.

    Terdahulu, pelan awal Thailand untuk membuka kembali Bangkok pada 1 Oktober mungkin akan ditunda berikutan kegagalan memenuhi sasaran 70 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

    Terkini, Thailand telah memberikan 50.56 juta dos vaksin COVID-19 sejak kempen vaksinasi bermula 28 Februari lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda