BANGKOK, 25 OGOS – Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) mengeluarkan amaran bagi kawasan berisiko di 58 wilayah di seluruh negara susulan Ribut Tropika Kajiki yang dijangka melanda kelmarin hingga 27 Ogos.
Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikan Watthanachan berkata ribut itu berpotensi mencetuskan kejadian banjir kilat, aliran lumpur, banjir besar dan tanah runtuh di banyak kawasan, selain ombak kuat di Laut Andaman utara dan Teluk Thailand.
Ombak dijangka mencapai ketinggian dua hingga tiga meter dan melebihi tiga meter di kawasan mengalami ribut petir.
Beliau berkata Pusat Operasi Pencegahan dan Mitigasi Bencana Pusat (CDDPMC) mengarahkan semua gabenor wilayah supaya mematuhi arahan Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri termasuk menjalankan pemantauan cuaca 24 jam serta mengeluarkan amaran awal kepada orang ramai di kawasan berisiko.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh koordinasi di semua peringkat dalam usaha pencegahan dan mitigasi bencana,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand, hari ini.
Sasikan berkata ombak kuat dijangka melanda wilayah pesisir pantai seperti Chon Buri, Rayong, Chanthaburi, Trat, Ranong dan Phang Nga, khususnya di kawasan tepi pantai, pulau-pulau serta destinasi pelancongan utama.
“Bagi penduduk di kawasan berisiko, sila ikuti kemas kini cuaca dan amaran daripada Jabatan Meteorologi dan DDPM.
“Kerajaan menegaskan komitmen untuk sentiasa bersama rakyat dalam setiap situasi demi memastikan keselamatan mereka,” katanya. – Bernama


