Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Thailand kembalikan perjalanan tanpa kuarantin bulan depan

    BANGKOK, 20 JAN – Thailand akan menyambung semula program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin untuk pelancong yang lengkap divaksin mulai 1 Februari, sebagai usaha memulihkan sektor pelancongannya memandangkan jangkitan COVID-19 dilihat semakin berkurangan.

    Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) bersetuju memperluaskan satu lagi program pengecualian kuarantin – sandbox – ke destinasi pantai popular termasuk Pattaya, Si Racha dan Sattahip di wilayah Chonburi dan Koh Chang di wilayah Trat.

    Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini. Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan, Kementerian Luar Negeri, Maratee Nalita Andamo berkata pendaftaran untuk ‘Test & Go’ akan disambung semula pada 1 Februari. Beliau berkata ketika sesi taklimat COVID-19, pelancong yang telah lengkap divaksin dari semua negara dan wilayah layak memohon program ‘Test & Go’.

    “Di bawah skim ini, pelancong dikehendaki mengambil dua ujian RT-PCR  – semasa ketibaan dan lima hari kemudian,” katanya  sambil menambah pelancong perlu berkuarantin di hotel sementara menunggu keputusan ujian.

    Thailand telah membuka pintu kepada pelawat dari 63 negara dan wilayah yang telah lengkap divaksin melalui program ‘Test & Go’ berkuat kuasa November 2021, dan pelancong dibenarkan melawat wilayah lain sebaik sahaja mereka negatif ujian COVID-19 semasa ketibaan. Bagaimanapun, program itu telah digantung pada akhir Disember atas kebimbangan penularan varian Omicron.

    Di bawah inisiatif ‘sandbox’, pengembara boleh mengelak kuarantin wajib dan melakukan perjalanan bebas di kawasan tertentu selama tujuh hari serta menjalani dua ujian COVID-19.

    Sehingga kini, terdapat empat destinasi di bawah program ‘sandbox’ iaitu Phuket, Phang Nga, Krabi dan Koh Samui.

    Sementara itu, Maratee berkata CCSA juga menyusun semula zon kawalan COVID-19 dengan Zon Kawalan dikurangkan kepada 44 dan 25 lagi dikategori sebagai Kawasan Pengawasan Tinggi.

    Beliau berkata program ‘sandbox’ kekal di lapan wilayah – Bangkok, Kanchanaburi, Krabi, Chonburi, Nonthaburi, Pathum Thani, Phang Nga dan Phuket.

    “Restoran di Kawasan Pengawasan Tinggi dan Kawasan ‘sandbox’ dibenarkan menyediakan minuman beralkohol dari 9 malam hingga 11 malam,” katanya. Sementara itu, perintah darurat akan dilanjutkan sehingga Mac tahun ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 8,129 kes baharu COVID-19 dan 19 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 2,353,062 kes dan 21,987 korban. – Bernama

    Gambar fail penari budaya Thailand menggunakan pelindung wajah bagi mengelak dijangkiti koronavirus ketika mengalu-alukan pelancong asing di Erawan, Thailand. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...