BANGKOK/PHNOM PENH, 27 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kelmarin bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan rundingan segera ke arah gencatan senjata berhubung pertempuran di sempadan yang sedang berlaku.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata beliau menghubungi kedua-dua pihak iaitu Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.
“Mereka bersetuju untuk segera bertemu dan merangka pelan gencatan senjata, dan akhirnya, mencapai perdamaian! Ia satu penghormatan untuk berurusan dengan kedua-dua negara ini,” kata Trump dan turut memaklumkan bahawa rundingan perdagangan antara AS dengan Thailand dan Kemboja tidak akan diteruskan selagi pertempuran belum dihentikan.
“Kebetulan kami sedang dalam proses rundingan perdagangan dengan kedua-dua negara, tetapi kami tidak akan memuktamadkan sebarang perjanjian jika mereka masih bertempur,” katanya.
Sementara itu, Phumtham mengesahkan perbualannya dengan Presiden AS itu menerusi akaun rasmi Facebook beliau, dan menyatakan bahawa Thailand bersetuju secara prinsip terhadap pelaksanaan gencatan senjata.
“Saya berterima kasih kepada Presiden Trump atas keprihatinannya dan turut meminta beliau menyampaikan kepada pihak Kemboja bahawa Thailand ingin segera mengadakan dialog dua hala bagi merangka langkah dan prosedur pelaksanaan gencatan senjata serta mencari penyelesaian damai terhadap konflik ini,” katanya. Beliau juga berkata bahawa Thailand berharap dapat melihat komitmen sebenar daripada pihak Kemboja.
Mengulas gesaan Trump, Manet menegaskan bahawa Kemboja bersetuju dengan cadangan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua angkatan bersenjata.
“Ini berita positif buat para tentera dan rakyat kedua-dua negara. Saya berharap pihak Thailand tidak mengubah pendirian mereka sebagaimana yang berlaku ketika usaha penyelarasan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lalu,” kata Manet menerusi hantaran di Facebook pada malam Sabtu.
Awal bulan ini, Trump mengenakan tarif sebanyak 36 peratus terhadap eksport dari Kemboja dan Thailand ke AS. Kedua-dua negara kini sedang berunding mengenai pelaksanaan tarif baharu itu yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos. Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada Khamis lalu (24 Julai), yang membawa kepada pertempuran bersenjata di sepanjang kawasan sempadan utara Kemboja.
Setakat ini, lebih 20 nyawa terkorban di pihak Thailand, sementara pihak berkuasa Kemboja melaporkan kematian lima anggota tentera dan lapan orang awam. Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan di kedua-dua belah sempadan. – Bernama
