BANGKOK, 27 SEPT – Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand Jen Wanlop Rugsanaoh dilantik sebagai ketua perun-ding baharu proses damai selatan Thailand, berkuat kuasa 1 Oktober.
Jen Wanlop akan menggantikan tempat Jen Udomchai Thammasarorath, bekas Komander Tentera Wilayah ke-4 selepas Jen Udomchai dilantik sebagai senator, Jun lalu.
Pada sidang media, Jen Wanlop berkata Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Jen Prayuth Chan o-cha melantik beliau sebagai ketua baharu kepada pasukan rundingan proses damai selatan Thailand dan pelantikan itu akan berkuat kuasa selepas beliau bersara dari NSC pada Isnin (30 September).
Malaysia memilih bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator dalam rundingan antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand.
Gen Wanlop berkata kerajaan Thailand komited untuk meneruskan proses damai di selatan untuk mengakhiri konflik selama beberapa dekad itu.
Mengenai perincian rundingan damai, beliau berkata terlalu awal untuk didedahkan.
“Saya akan memberikan butirannya selepas saya melapor diri sebagai ketua perunding baharu bagi dialog damai itu,” katanya.
Keganasan empat wilayah di Selatan – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla mengorbankan lebih 7,000 nyawa. Sejak beberapa tahun yang lalu, Mara Patani mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlanjutan sejak 2004. – Bernama