BANGKOK, 2 MEI – Kementerian Kesihatan Thailand menyeru orang ramai agar bertenang selepas negara itu melaporkan kematian pertama akibat jangkitan antraks dalam tempoh lebih tiga dekad, manakala satu lagi kes jangkitan telah disahkan.
Antraks, yang tersebar melalui bakteria dalam tanah, lazimnya menjangkiti haiwan ternakan dan haiwan liar yang meragut, tetapi boleh membawa maut kepada manusia dengan gejala seperti luka pada kulit, lepuh dan bengkak pada nodus limfa.
Pegawai kesihatan memberi amaran kepada rakyat Thailand agar tidak memakan daging mentah, makanan ruji di wilayah timur laut negara itu, susulan kematian seorang lelaki berusia 53 tahun yang dilaporkan telah mengendalikan bangkai lembu di wilayah Mukdahan, berhampiran sempadan dengan Laos.
Seorang lagi lelaki berusia 53 tahun, yang turut mempunyai sejarah bersentuhan dengan lembu, telah diuji positif dan kini dirawat di hospital di wilayah yang sama.
Sementara itu, seramai 638 individu daripada ‘kumpulan berisiko’ termasuk tukang sembelih dan mereka yang memakan daging lembu mentah sedang dipantau dan diberikan antibiotik sebagai langkah pencegahan.
Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Weerawat Manosuthi, berkata mangsa yang meninggal dunia pada Rabu lalu mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
“Mangsa telah menyentuh bangkai lembu tanpa perlindungan yang sesuai,” katanya kepada wartawan di Bangkok.
Tambahnya lagi, “Dua hari kemudian, beliau menunjukkan simptom dan mendapatkan rawatan perubatan.”
Kematian itu merupakan kes pertama akibat antraks di Thailand sejak tahun 1994, apabila tiga individu meninggal dunia dan berlaku ketika jangkitan di rantau ini dilaporkan semakin meningkat. – AFP
