CHIANG MAI, 21 APRIL – Informa Markets Thailand telah mengadakan sesi libat urus dengan organisasi dan syarikat Malaysia seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Halal Development Corporation (HDC) bersempena dengan program makanan akan datang di Bangkok, Thailand.
Informa Markets Thailand adalah penganjur pameran terkemuka ProPak Asia 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (BITEC), Bangkok pada 14 hingga 17 Jun dan pameran perdagangan Food Ingredients Asia 2023 (Fi Asia 2023) di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit, Bangkok mulai 20 hingga 22 September.
Pengarah Portfolio Serantau Informa Markets Thailand bagi Asean, Rungphech Chitanuwat berkata acara itu dijangka menarik minat pembeli dan peserta perdagangan dari seluruh Asia.
Beliau yakin program berkenaan akan memberikan peluang positif kepada Malaysia untuk berhubung, berkembang dan mempromosikan produk makanan dan minuman (F&B).
“Kami telah bekerjasama dengan beberapa organisasi di Malaysia untuk mendapatkan pempamer dan pengunjung yang berminat dengan sektor F&B.” – Bernama


