Monday, December 30, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand nafi khabar angin serangan di lokasi pelancongan

    BANGKOK, 13 Jun – Thailand menafikan khabar angin yang menyatakan pihak kerajaan telah mengeluarkan peringatan keselamatan mengenai kemungkinan akan berlaku serangan di tiga lokasi pelancongan utamanya iaitu Phuket, Phang Nga dan Krabi.

    “Tiada sebarang peringatan keselamatan seumpama itu yang dikeluarkan kerajaan,” kata Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit Wongsuwan ketika ditemui pihak media. Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Jeneral Anupong Paojinda.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin yang tersebar menerusi media sosial berhubung dakwaan kerajaan telah mengeluarkan peringatan keselamatan mengenai kemungkinan berlakunya serangan yang menyasarkan bangunan kerajaan, pusat tumpuan pelancongan, pusat membeli-belah dan hotel yang terletak di lokasi tumpuan pelancongan di Selatan Thailand.

    Gabenor Phuket Norraphat Plodthong pada Ahad memaklumkan media tempatan beliau telah mengarahkan langkah keselamatan lebih ketat dilakukan di semua pusat pemeriksaan utama selain telah memasang lebih banyak kamera pengawasan di pulau itu.

    Seorang pegawai kerajaan di Krabi memberitahu pihak media kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di kawasan tumpuan pelancongan di daerah itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda