Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand pamer Relik Gigi Buddha

    BANGKOK, 5 DIS – Lebih 2,000 orang menyertai perarakan hari ini mengambil bahagian dalam upacara perarakan Relik Gigi Buddha yang dipinjamkan oleh China ke sebuah kuil di ibu negara Thailand, Bangkok, bagi menghormati ulang tahun kelahiran Raja Maha Vajiralongkorn dan meraikan 50 tahun hubungan diplomatik antara Thailand dan China.

    Relik Gigi Buddha, yang dianggap suci oleh para penganut Buddha, diterbangkan dari Kuil Lingguang di Beijing, di mana ia biasanya disimpan.

    Pemindahan relik berkenaan adalah sebagai tanda persahabatan yang merupakan bentuk diplomasi halus yang efektif oleh China, meskipun terdapat pelbagai tuntutan dari beberapa negara lain yang mendakwa memiliki Gigi Buddha, yang me-nimbulkan persoalan tentang asal usulnya.

    Relik tersebut diletakkan dalam bekas emas berhias dan diarak menggunakan kenderaan yang dihias bunga melalui salah satu kawasan tertua di bandar ini.

    Para pengiring mengapit kenderaan itu sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 2.5 kilometer ke destinasi sementara relik tersebut, iaitu sebuah pavilion yang menjulang tinggi di Sanam Luang, sebuah kawasan lapang besar di luar Istana Besar Bangkok.

    Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bersama anggota kabinetnya menerima relik itu diiringi bacaan doa oleh sami. Wakil dari China, termasuk duta Beijing ke Thailand, turut hadir, menurut laporan media tempatan.

    Pemindahan relik itu merupakan sebahagian daripada rangkaian acara untuk meraikan ulang tahun ke-72 Raja Thailand, di samping memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Thailand-China yang jatuh pada tahun hadapan. Relik tersebut pernah dipamerkan di Thailand pada 2002 sempena ulang tahun ke-75 Raja Bhumibol, ayahanda Raja Vajiralongkorn, yang mangkat pada 2016.

    Relik tersebut akan dipamerkan untuk tatapan umum di pavilion berkenaan sehingga pertengahan Februari. – AP

    Orang ramai ketika mengambil gambar relik berkenaan, yang dipinjamkan dari China, di Taman Diraja Bangkok, Thailand, pada 4 Disember. — AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda