RAYONG, 30 JAN – Cuaca berangin dan keadaan laut telah menghalang tumpahan minyak dari menuju pantai-pantai di bahagian timur Thailand hari ini, menurut pihak berkuasa, namun kebimbangan tetap wujud tumpahan tersebut mungkin melanda pulau peranginan terkenal.
Petugas kecemasan yang mengenakan peralatan perlindungan membuang pasir tercemar dari pantai Mae Rampheung di wilayah Rayong, tenggara Bangkok, yang ditutup kelmarin.
Kira-kira 20 hingga 50 tan minyak dianggarkan tertumpah pada malam Selasa di teluk Thailand dari hos bawah laut yang digunakan untuk memuatkan kapal tangki dari titik tambatan pesisir laut oleh syarikat Star Pertoleum Refining Co.
Kebocoran itu berjaya dihentikan dalam tempoh beberapa jam, kata syarikat tersebut.
Kebanyakan tumpahan minyak menuju ke Koh Samet, pulau pelancongan terkenal yang mula pulih daripada kemerosotan pandemik koronavirus bersama-sama beberapa kawasan lain di negara itu.

Menteri Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar, Varaeut Silpa-archa berkata pihak berkuasa mengambil langkah untuk menghalang ia daripada mengenai pantai-pantai.
Pesawat menjatuhkan kimia untuk memisahkan minyak dan meletakkan penahan untuk mengawal tumpahan minyak dan membuangnya.
“Saya yakin kita akan berjaya menghalang sebahagian besar tumpahan minyak dari menjejaskan sumber semula jadi, terutama terumbu,” kata Varawut Silpa-archa kepada The Associated Press selepas tinjauan di pantai Rayong.
“Sudah tentu terumbu karang akan terjejas tetapi sebahagian besar daripadanya akan dapat diselamatkan dan akan mengurangkan kesan kepada orang ramai,” tambahnya.
Kawasan tepi pantai sangat bergantung kepada pelancongan.
Ia terjejas akibat pandemik yang menghalang kedatangan pelancong, dan tumpahan ini akan menyebabkan usaha pemulihan lebih sukar. Industri perikanan tempatan turut terjejas oleh pencemaran.
Ketika ditanya berapa lama keadaan ini akan berakhir, Varawut berkata, “Jika dilihat ia akan berakhir dalam masa seminggu tetapi dari segi alam semula jadi ia akan mengambil masa bertahun-tahun.”– AP