Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand perkenal kad ketibaan digital mulai 1 Mei

    BANGKOK, 10 APRIL – Mulai 1 Mei, semua pelawat asing yang tiba di Thailand melalui jalan darat, udara atau laut dikehendaki melengkapkan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum ketibaan mereka.

    Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Nikorndej Balankura berkata TDAC, iaitu sebuah kad ketibaan elektronik akan menggantikan borang kertas (TM6) yang digunakan sebelum ini.

    Beliau berkata pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang tdac.immigration.go.th.

    “Sistem TDAC dibangunkan untuk memudahkan kemasukan pelancong asing dengan menggunakan teknologi perjalanan pintar yang cepat dan selamat,” katanya pada taklimat media Khamis lalu.

    Beliau menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan meningkatkan kemudahan bagi pelancong dan memastikan maklumat yang diberikan digunakan untuk menawarkan bantuan sewajarnya kepada pelancong dan pelawat antarabangsa yang tiba di Thailand.

    “Ini juga akan menyokong tujuan kritikal lain seperti pemantauan kesihatan awam.

    “TDAC boleh dilengkapkan sehingga tiga hari sebelum tarikh ketibaan di Thailand dan sistem ini memerlukan maklumat seperti butiran pasport atau dokumen perjalanan, maklumat peribadi, butiran perjalanan, penginapan di Thailand dan maklumat kesihatan,” katanya.

    Sebelum ini, pelawat asing yang memasuki dan meninggalkan Thailand perlu mengisi kad TM6.

    Namun, Thailand telah menggantung keperluan bagi pelancong asing yang tiba melalui jalan udara untuk melengkapkan kad TM6 sejak Julai 2022, manakala mereka yang tiba melalui 16 pusat pemeriksaan darat dan laut dikecualikan sehingga 30 April 2025.

    Nikorndej, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan berkata Kerajaan Thailand dan Pejabat Imigresen Thailand akan melancarkan sistem TDAC itu.

    Beliau menekankan bahawa setelah dihantar, TDAC boleh dimuat turun atau menerima emel pengesahan yang boleh dipersembahkan kepada pegawai imigresen setibanya di Thailand.

    Nikorndej juga berkata bahawa permohonan boleh diedit dan penyerahan secara berkumpulan dibenarkan.

    Beliau juga memaklumkan bahawa pengecualian terhadap keperluan TDAC diberikan kepada individu yang dilindungi di bawah Seksyen 15 Akta Imigresen seperti pegawai diplomatik, konsular dan organisasi antarabangsa, pasangan mereka, tanggungan dan kakitangan domestik, serta pegawai asing yang melaksanakan tugas di Thailand.

    “Sebagai langkah praktikal, warga asing yang tiba di Thailand pada 1 Mei boleh mengakses sistem TDAC mulai 28 April,” katanya. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda