BANGKOK, 30 MEI – Thailand sedang mempergiat strategi transformasi nasionalnya dengan visi berani untuk menjadi hab serantau bagi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prasert Jantararuangtong kelmarin.
Dalam ucaptama melalui video semasa Sidang Kemuncak Digital & AI Huawei Thailand 2025 di Bangkok, Prasert yang juga Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital, menekankan peranan penting AI dan inovasi digital dalam strategi pembangunan jangka panjang negara Asia Tenggara itu.
Beliau berkata ekonomi digital Thailand sedang berkembang pesat dan dijangka meningkat sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2025.
“Di bawah dasar Enjin Pertumbuhan Thailand, kami berhasrat untuk meningkatkan daya saing negara, mewujudkan persekitaran digital yang selamat, dan melahirkan generasi bakat digital yang baharu,” katanya.
Menerusi tiga teras strategi, Thailand menyasarkan untuk mengukuhkan infrastruktur digital, mewujudkan persekitaran digital yang selamat yang melindungi hak pengguna serta membina kepercayaan awam, dan membangunkan modal insan dengan melatih profesional serta melahirkan pembangun AI dalam tempoh dua tahun akan datang, tambah beliau.
Menyokong dasar negara dalam pembangunan bakat digital, gergasi teknologi China, Huawei, bersama Universiti Chulalongkorn Thailand telah bekerjasama dalam mereka bentuk kurikulum berfokuskan AI, membangunkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta mentransformasikan universiti tersebut menjadi kampus pintar yang bersepadu sepenuhnya.
“Kerjasama dengan Huawei ini mencerminkan komitmen kukuh kami untuk memacu transformasi digital dalam pendidikan dan menyediakan pelajar serta kakitangan kami bagi menghadapi ekonomi digital masa hadapan,” kata Naib Presiden universiti itu, Parichart Sthapitanonda.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (Thailand), David Li, turut menekankan kuasa transformatif AI terhadap masyarakat.
“Melalui kerjasama dengan kerajaan, industri dan akademia, Huawei berhasrat untuk memperkasa semua sektor, daripada pertanian hingga penjagaan kesihatan dan kewangan,” katanya. -Xinhua
