BANGKOK, 30 APRIL – Thailand akan membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat di seluruh negara mulai 3 Mei berserta garis panduan bagi mengelak gelombang kedua jangkitan COVID-19 di negara ini setelah keadaan jangkitan COVID-19 di Thailand terus bertambah baik dengan kes baharu melibatkan hanya satu angka minggu ini.
Enam jenis perniagaan dan tempat itu ialah pasar, tempat makan di luar bangunan pusat membeli-belah, perniagaan borong dan kedai, taman dan kemudahan sukan luar (bukan untuk sukan berpasukan), kedai gunting rambut (dihadkan untuk khidmat gunting, cuci dan mengeringkan rambut), kedai dandanan dan hotel haiwan peliharaan.
Pusat membeli-belah, panggung wayang dan teater, gim dan spa, tempat sukan luar termasuk stadium tinju kekal ditutup bagi mengelakkan perhimpunan yang ramai.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, garis panduan untuk membuka semula perniagaan dan tempat akan diselaraskan seluruh negara oleh CCSA dan gabenor wilayah boleh mengenakan tindakan tegas jika perlu tetapi tidak kurang ketat.
“Pembukaan semula itu akan bermula 3 Mei. Kerajaan akan memerhati dan menilai situasi setiap 14 hari.

“Jika situasi bertambah baik, kita akan libatkan lebih banyak lagi perniagaan dan aktiviti untuk kelonggaran. Bagaimanapun, kerajaan akan bertindak sebaliknya jika jumlah kes baharu bertambah,” katanya pada taklimat harian mengenai COVID-19 hari ini.
Beliau berkata, semua operator perlu mematuhi peraturan dan langkah kesihatan bagi mengurangkan risiko gelombang kedua jangkitan.
Thailand menyambung perintah darurat sehingga 31 Mei. Langkah yang akan diambil termasuk menghentikan kemasukan penumpang penerbangan antarabangsa, perintah berkurung waktu malam dari 10 malam hingga 4 pagi, pengharaman jualan alkohol, mengelakkan perjalanan antara wilayah dan perhimpunan besar akan diteruskan di bawah perintah darurat itu.
Hari ini, Thailand melaporkan tujuh kes baharu COVID-19 dan sifar kematian, menjadikan jumlahnya 2,954 dan jumlah kematian kekal 54 orang. Ia hari keempat berturut-turut jumlah kes baharu dalam kiraan satu digit.
Daripada 2,954 kes kumulatif, 2,687 telah dibenarkan pulang dari hospital. – Bernama