BANGKOK, 7 Nov – Kementerian Pertanian Thailand akan mendapatkan wang pampasan bagi sejumlah 900,000 keluarga yang terjejas akibat banjir dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Terdahulu, ia telah memohon wang pampasan bagi sejumlah 500,000 keluarga. Di bawah bajet empat juta bilion baht (US$120.65 juta), setiap keluarga akan menerima 3,000 baht sebagai pampasan, kata Menteri Pertanian Jeneral Chatchai Sarikulya.
Langkah pemulihan lain yang akan dilaksana adalah seperti guna tenaga, penangguhan pinjaman oleh koperasi dan pengagihan benih untuk petani yang membenarkan tanah mereka dijadikan kawasan pembendungan air banjir.
Menyentuh situasi banjir di setiap wilayah, beliau berkata banjir di hulu empangan Chao Phraya kembali normal manakala ia berterusan di hilir empangan meskipun ia mula surut. Di bahagian Timur Laut, selepas empangan Ubonrat menghentikan pelepasan air, paras air di Sungai Nam Phong telah menurun dan situasi itu dijangka kembali normal tidak lama lagi. Bagaimanapun, di lembangan Sungai Chee, terutama Maha Sarakham dan Kalasin, banjir itu mungkin bertambah baik menjelang hujung bulan ini.
Di bahagian Selatan, Jeneral Chatchai berkata kementeriannya telah memasang lebih 500 pam dan peralatan lain yang berkaitan di 14 lokasi sebagai persediaan untuk menghadapi banjir yang disebabkan pengaruh ribut tropika.
Kira-Kira 2,000 tan makanan haiwan siap untuk bekalan. – Bernama