Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand pulangkan hampir 1,000 lemur, kura-kura ke Madagascar

    BANGKOK, 27 NOV – Thailand akan memulangkan hampir 1,000 spesies terancam seperti lemur dan kura-kura ke habitat asalnya di Madagascar, dalam operasi terbesar kedua-dua negara dalam membanteras penyeludupan hidupan liar.

    Operasi tersebut susulan penemuan dan rampasan 1,117 haiwan hidup dan mati oleh polis Thailand di wilayah Chumphon pada Mei lalu, yang disifatkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai rampasan terbesar negara itu.

    Thailand, yang dikenali sebagai hab transit utama penyeludup hidupan liar, sering menjadi laluan bagi penyeludupan haiwan ke pasaran gelap yang menguntungkan di China, Vietnam dan Taiwan.

    Pemulangan 963 haiwan, termasuk lemur ekor gelang, lemur perang, kura-kura labah-labah dan kura-kura bertompok, dianggap sebagai langkah penting dalam usaha memerangi penyeludupan hidupan liar, menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Chalermchai Sri-on.

    “Buat kali pertama, hidupan liar dipulangkan sebelum kes perundangan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lemur yang membintangi sebagai watak sokongan dalam filem animasi Madagascar hanya ditemui di pulau Lautan Hindi. – AFP

    Lemur, yang terkenal melalui watak dalam filem animasi Madagascar, hanya ditemui di pulau Lautan Hindi tersebut dan kini terancam akibat perdagangan sebagai haiwan peliharaan. Menteri Alam Sekitar Madagascar, Max Andonirina Fontaine, yang hadir menyaksikan operasi di Thailand, berkata haiwan tersebut akan dihantar ke pusat penjagaan khas sebaik tiba di Madagascar.

    Dalam kejadian rampasan pada Mei, enam individu telah ditahan dan didakwa atas kesalahan penyeludupan haiwan terancam. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak 1.5 juta baht (AS$43,000).

    Empat spesies yang terlibat dalam pemulangan itu disenaraikan sebagai hampir pupus atau terancam oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).
    Fontaine menambah, “Apabila dua negara bekerjasama, kita boleh mencipta kejayaan yang besar.”

    Menurut laporan NGO pemuliharaan TRAFFIC, Thailand merupakan pengimport dan pengeksport terbesar hidupan liar yang disenaraikan di bawah CITES dari Madagascar di Asia Tenggara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda