BANGKOK, 14 MEI – Pihak berkuasa Thailand hari ini memaklumkan mereka telah merampas 238 tan sisa elektronik yang diimport secara haram dari Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Bangkok, rampasan terbesar yang ditemui tahun ini.
Sisa tersebut, yang dibawa dalam 10 kontena besar, diisytiharkan sebagai sisa logam bercampur namun sebenarnya mengandungi papan litar bercampur dengan timbunan besar sisa logam, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Theeraj Athanavanich.
Sisa berkenaan ditemui kelmarin selepas kontena-kontena terbabit menjadi subjek pemeriksaan rambang rutin, menurut pegawai.
Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan sisa elektronik semakin bertambah di seluruh dunia. Sekitar 62 juta tan sisa elektronik dihasilkan pada tahun 2022 dan angka itu dijangka meningkat kepada 82 juta tan menjelang 2030.
Laporan itu menyebut hanya 22 peratus sisa dikutip dan dikitar semula dengan betul pada 2022 dan peratusan itu dijangka merosot kepada 20 peratus menjelang akhir dekad ini disebabkan peningkatan penggunaan, pilihan pembaikan yang terhad, kitar hayat produk yang lebih pendek dan infrastruktur pengurusan yang tidak mencukupi. – AP
