Thailand rekod 15 kes baharu

BANGKOK, 24 APRIL – Thailand merekodkan 15 kes baharu COVID-19 dan kematian sifar, menjadikan jumlah keseluruhan 2,854 kes dan 50 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata seramai 2,490 pesakit telah pulih dan didiscaj dari hospital manakala 314 masih dirawat.

Beliau berkata 10 daripada 77 wilayah tidak merekodkan kes baharu bagi tempoh 28 hari.

“Jangkitan daripada kluster yang aktif masih berlaku di wilayah Chonburi, Phuket, Pattani, Yala dan Chumpon dan setiap kluster melibatkan antara lima dan 51 individu yang dijangkiti,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 hari ini.

Thaweesilp berkata pihak berkuasa kesihatan juga sedang memperhebatkan ujian makmal. – Bernama