Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand rekod 67 hari sifar jangkitan

    BANGKOK, 31 JULAI – Thailand merekodkan 67 hari tanpa kes jangkitan tempatan ketika negara itu bersiap sedia untuk membuka pintunya kepada lebih ramai warga asing mulai esok.

    Malah, kesemua enam kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan warga Thailand yang kembali dari luar negara baru-baru ini, menjadikan jumlah jangkitan kini kepada 3,310 kes.

    Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada enam lelaki itu, lima adalah pelajar dengan empat pulang dari Mesir pada 22 Julai manakala seorang lagi tiba semalam, juga dari Mesir.

    Beliau berkata kes keenam merupakan tukang masak kapal persiaran warga Thailand berusia 52 tahun yang diuji positif ketika kembali dari Belanda.

    “Sejak wabak bermula pada Januari, Thailand merekodkan 3,310 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sehingga kini, 3,125 telah pulih dan keluar dari hospital sementara 127 yang lain masih dirawat,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

    Mulai esok, Thailand akan membuka sempadannya kepada lebih banyak warga asing termasuk pekerja migran dari negara jiran – Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam, dalam sektor infrastruktur dan industri makanan.

    Selain itu, pelancong perubatan, warga asing yang menyertai persidangan dan pameran perdagangan antarabangsa, serta kru produksi filem asing dan pemegang kad Thailand Elite (mereka yang mempunyai visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman pelbagai kemasukan) adalah antara mereka yang dibenarkan memasuki negara ini. – Bernama

    Seorang kanak-kanak diambil suhunya bagi mengekang dan mengehadkan jangkitan COVID-19 sebelum memasuki masjid untuk solat sunat Hari Raya Aidiladha di Narathiwat, selatan Thailand, 31 Julai. Umat Islam di Thailand meraikan Aidiladha dalam normal baharu ketika negara didominasi Buddha itu merekodkan sifar jangkitan baharu COVID-19. –AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda