Thailand sahkan empat kes baharu COVID-19

BANGKOK, 5 MAC – Thailand mengesahkan empat kes baharu COVID-19 termasuk seorang pelajar warga China dan seorang pelajar tempatan, yang kembali dari Iran, negara yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat penyakit itu di luar China, menjadikan jumlah keseluruhannya 47 kes.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata pesakit pertama seorang pelajar lelaki warga China berusia 22 tahun yang mengembara dari Iran ke China, disaring dengan gejala COVID-19 ketika transit di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada 1 Mac lepas.

Kes kedua pula melibatkan seorang pelajar lelaki warga tempatan berusia 20 tahun yang tiba dari Iran pada 27 Feb dan didiagnosis dengan virus berkenan pada 2 Mac selepas mendapatkan rawatan di Wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand pada 2 Mac.

Katanya kes baharu ketiga, adalah seorang lelaki warga Itali berusia 29 tahun yang tiba di Thailand pada 1 Mac dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Wilayah Chonburi pada keesokan harinya. “Pesakit keempat pula adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, pekerja sebuah syarikat swasta yang kembali dari Itali pada 2 Mac dan didiagnosis dengan virus itu pada 3 Mac di sebuah hospital di Wilayah Chonburi pada 3 Mac,” katanya.

“Setakat ini, 31 pesakit telah pulih manakala 15 lagi sedang menjalani rawatan, termasuk seorang pesakit batuk kering (TB) berusia 70 tahun yang didignosis dengan COVID-19 dilaporkan dalam keadaan kritikal,” katanya pada taklimat harian mengenai COVID-19 hari ini. -Bernama