BANGKOK, 31 MEI – Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memberi jaminan kepada pelabur dari Amerika Syarikat (AS) hari ini bahawa negara itu terbuka untuk pelaburan di bawah dasar yang dipertingkatkan.
Srettha menyatakan visi beliau untuk babak seterusnya dalam hubungan ekonomi Thailand-AS dan dalam lingkup yang lebih luas di rantau Asia Pasifik untuk menjadi lebih saling berhubung, hijau dan berwawasan ke hadapan.
“Kami akan memanfaatkan kekuatan kami dan menyempurnakan usaha kami untuk merealisasikan objektif, terutama dalam bidang logistik, penerbangan, digital, mobiliti masa depan dan hab pelancongan.
“Saya mengulangi sekali lagi bahawa Thailand terbuka dan tiada masa yang lebih baik untuk melabur di Thailand,” katanya dalam hantaran di akaun X rasminya hari ini.
Srettha menegaskan perkongsian Thailand-AS yang telah lama terjalin dan menekankan potensi kedua-dua negara untuk menangani cabaran moden melalui kerjasama bilateral dan multilateral.
“Kerjasama itu mencerminkan konsistensi antara visi di bawah dasar ‘Ignite Thailand’ dan cadangan ‘Five to Thrive’ yang dicadangkan oleh perniagaan AS di Thailand, serta penyertaan aktif dan konstruktif kami dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF),” katanya.
Media tempatan melaporkan Srettha sebelum itu menghadiri Persidangan Perdagangan dan Pelaburan Thailand-AS 2024. – Bernama
