Thailand sekat 1,000 lagi kandungan online

BANGKOK, 26 OGOS – Thailand terus menyekat 1,000 catatan online, video dan kandungan lain yang ‘melanggar undang-undang’, kata seorang menteri hari ini, selepas Facebook berikrar menuntut tindakan undang-undang berhubung penapisan sebuah kumpulan yang membincangkan monarki.

Bantahan prodemokrasi dipimpin belia telah melanda Thailand beberapa minggu kebelakangan, menggesa reformasi politik dan perbincangan terang-terangan tentang peranan kuasa raja di negara itu, yang menjadi subjek pantang larang lama.

Sebuah kumpulan dalam Facebook yang digelar ‘Royalist Marketplace’ mempunyai lebih satu juta anggota menyiarkan tentang hal-hal kerabat diraja sebelum ia disekat di Thailand pada Isnin.

Syarikat gergasi laman media sosial berkata ia ‘dipaksa’ oleh kerajaan untuk menyekat kumpulan itu dan bersedia untuk melakukan tindakan undang-undang ke atas langkah tersebut.

Namun Kementerian Ekonomi Digital dan Kemasyarakatan sekarang ingin mendapatkan arahan penyingkiran dari mahkamah berkaitan 1,024 lagi URL dalam Facebook, Twitter, YouTube dan lima lagi laman, kata menteri Buddhipongse Punnakanta kepada wartawan.

Laman-laman tersebut dipercayai melanggar Akta Jenayah Komputer yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.

“Kami tidak melanggar hak sesiapa pun…namun jika mereka melanggar undang-undang mereka akan berdepan tindakan perundangan,” kata menteri.

Beliau menafikan ‘Royalist Marketplace’ telah disekat atas sebab politik, sebaliknya mengatakan kementerian ‘harus melindungi kedaulatan siber Thailand’.

Moderator Pavin Chachaval-pongpun – seorang pengkritik Thailand yang diberikan perlindungan di Jepun – memulakan kumpulan baharu dalam Facebook yang setakat ini telah menarik 730,000 ahli, katanya. – AFP

Buddhipongse Punnakanta ketika sidang media membincangkan keputusan kerajaan untuk meminta Facebook menyekat akaun-akaun laman sosial di Bangkok, Thailand pada 26 Ogos. – AP