Thursday, July 24, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand siap sedia hadapi ribut tropika Wipha

    BANGKOK, 23 JULAI – Thailand kini bersiap sedia menghadapi ribut tropika Wipha yang diramal merentasi wilayah utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.

    Timbalan Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Thailand, Anukool Pruksanusak berkata orang ramai diingatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan akibat cuaca buruk, termasuk penutupan sekolah serta-merta di kawasan yang terjejas.

    “Kerajaan menekankan kepentingan keselamatan orang ramai. Sila bersedia menghadapi situasi ini, ambil perhatian terhadap amaran yang dikeluarkan dan ikuti arahan agensi kerajaan bagi mengurangkan impak serta mencegah sebarang kerugian,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand hari ini.

    Beliau berkata, Kementerian Pertanian diarahkan untuk mengambil langkah mengurangkan kesan terhadap sektor pertanian.

    Anukool turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran mengenai ribut tropika Wipha yang dijangka melemah.

    Beliau menegaskan bahawa ribut itu dijangka membawa hujan lebat ke banyak kawasan di Thailand, terutamanya di wilayah utara, bahagian timur laut, kawasan barat wilayah tengah serta timur negara itu, dengan hujan berterusan dijangka sehingga 24 Julai.

    “Kerajaan menyeru penduduk di kawasan terjejas agar berwaspada terhadap risiko hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan limpahan air sungai, terutama di kawasan kaki bukit, berhampiran saliran air serta kawasan rendah,” katanya.

    Setakat kelmarin, ribut tropika Wipha telah mengakibatkan hujan lebat dan banjir di Filipina, menyebabkan lima kematian dan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan. – Bernama

    Ribut tropika Wipha dijangka mengakibatkan hujan lebat di Thailand. – ANN/The Nation
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda