BANGKOK, 2 Mei – Lautan manusia berbaju kuning kini menjadi pandangan biasa di Thailand menjelang majlis pemahkotaan Raja Maha Vajiralongkorn hujung minggu ini, upacara pertama seumpama itu sejak hampir tujuh dekad.
Rakyat Thai kini dalam suasana pesta bagi merayakan pemahkotaan Raja Vajiralongkorn,66, yang bergelar Raja Rama X, pada Sabtu dan akan berlangsung sepanjang hujung minggu sehingga Isnin.
Bingkai gambar Raja Vajiralongkorn yang memakai jubah keemasan terpampang di pejabat kerajaan, pusat beli-belah dan kedai manakala bendera hiasan berwarna kuning dan pintu gerbang dengan simbol kerajaan didirikan sekitar jalan raya dan bangunan di seluruh negara sempena majlis pemahkotaan itu.
Ratchadamnoen Avenue serta jalan menuju ke Istana Besar dihiasi dengan bunga dan pokok hiasan. Para pekerja Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok pula melakukan sentuhan akhir menjelang upacara tersebut.
Tiga belas jambatan merentangi sungai Chao Phraya di bandaraya diterangi dengan lampu berwarna-warni sempena upacara pemahkotaan itu.

Pesuruhjaya Pejabat Polis Strategi Lt-Jeneral Pol Kraiboon Suadsong berkata persiapan bagi majlis pemahkotaan berjalan lancar.
“Kita menjangkakan kira-kira 200,000 orang akan membanjiri bandaraya pada hujung minggu ini bagi menyaksikan majlis pemahkotaan.
“Kita akan memastikan upacara itu berlangsung dengan penuh ketertiban, kelancaran trafik serta keselamatan orang awam sepanjang masa. Kami semua siap siaga bagi menentukan kesempurnaan majlis,” katanya kepada pemberita di sini.
Raya Vajiralongkorn mewarisi takhta berikutan kemangkatan ayahanda baginda Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016 setelah memerintah selama 70 tahun.
Raja Vajiralongkorn merupakan anak kedua daripada empat anak mendiang Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit. Baginda merupakan anak lelaki tunggal. – Bernama