Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand, Singapura lancar penghubungan sistem bayaran masa nyata pertama dunia

    BANGKOK, 29 APRIL – Bank of Thailand (BoT) dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) melancarkan penghubungan sistem pembayaran runcit masa nyata dua negara terbabit iaitu PromptPay (Thailand) dan PayNow (Singapura), hari ini.

    Dalam kenyataan bersama, BoT dan MAS menyifatkan usaha itu yang pertama seumpamanya di peringkat global, akan membolehkan para pelanggan bank terlibat di Thailand dan Singapura memindahkan dana sehingga S$1,000 (S$1=RM3.09) atau 25,000 baht (10 baht=RM1.31) sehari di kedua-dua negara dengan hanya menggunakan nombor talian mudah alih.

    “Usaha itu tidak memerlukan langkah mengisi maklumat seperti nama penuh dan butiran akaun bank penerima sepertimana kaedah pengiriman biasa. “Pindahan wang itu akan selesai dalam masa beberapa minit, sekali gus memaparkan penambahbaikan ketara berbanding tempoh satu hingga dua hari bekerja yang diperlukan oleh kebanyakan kaedah pengiriman wang rentas sempadan,” kata kenyataan itu.

    Bank atau institusi kewangan Thailand yang terlibat adalah Bangkok Bank (BBL), Kasikornbank (KBANK), Krung Thai Bank (KTB) dan Siam Commercial Bank manakala DBS Bank OCBC dan United Overseas Bank (UOB) di Singapura berperanan sebagai penyedia.

    Langkah penghubungan Prompt-Pay-PayNow itu adalah kerjasama penting di bawah Kesalinghubungan Pembayaran ASEAN yang diwujudkan pada 2019 selain menjadi kerjasama meluas antara BoT dan MAS, pengendali sistem pembayaran kedua-dua negara tersebut, persatuan bank serta bank yang terbabit.

    Menurut kenyataan bersama itu, BoT dan MAS secara berperingkat akan menambah baik penghubungan PromptPay-PayNow agar dapat merangkumkan lebih ramai peserta dan meningkatkan had pindahan untuk memudahkan transaksi perniagaan.

    Sementara itu, Gabenor BoT, Dr Sethaput Suthiwartnarueput berkata perkhidmatan disediakan oleh MAS dan BoT itu akan menangani kesukaran yang dihadapi pelanggan sekian lama bagi pindahan dan pengiriman wang rentas sempadan, di samping isu tempoh transaksi yang panjang serta kos tinggi.

    “Penghubungan PromptPay-PayNow kini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pembayaran digital kami.

    “Berlandaskan kejayaan PromptPay, sistem pembayaran domestik kami, pihak kami berusaha untuk mempertingkatkan penghubungan rentas sempadan dengan ASEAN dan negara-negara lain di samping telah melancarkan kesalinghubungan pembayaran rentas sempadan QR dengan Jepun, Laos, Kemboja dan Vietnam,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon berkata objektif bersama MAS dan BoT adalah bekerjasama dengan rakan setara ASEAN untuk memperluas penghubungan dua hala itu ke dalam rangkaian sistem pembayaran runcit terhubung di seluruh ASEAN.

    “Susulan berlakunya kebangkitan ekonomi digital, kami ingin memperkasa individu dan perniagaan di rantau ini dengan pembayaran rentas sempadan yang mudah, cepat dan selamat hanya menerusi beberapa klik pada telefon mudah alih mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda