BANGKOK, 31 OGOS – Thailand menangguhkan pembelian dua kapal selam dari China bernilai AS$724 juta berikutan kemarahan orang ramai berhubung perjanjian kontroversi itu memandangkan ekonomi negara masih tidak berubah disebabkan oleh COVID-19.
Di bawah perjanjian 2015, Thailand adalah antara negara pertama yang akan membeli aset tentera laut China dan memuktamadkan pembelian tiga kapal selam pada tahun 2017 dengan yang pertama dijangka dihantar pada tahun 2023. Tempahan dua lagi dengan harga 22.5 bilion baht (AS$723.9 juta) telah diluluskan awal bulan ini oleh sebuah jawatankuasa kecil parlimen, sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat ketika Thailand bergelut dengan kemelesetan ekonomi.
Warga Thailand melampiaskan kemarahan mereka dalam media sosial dengan mengkritik perjanjian tersebut bersama tanda pagar (hashtag) ‘Orang ramai tidak mahu kapal selam’ menjadi trending dalam Twitter.
Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri mengumumkan hari ini bahawa Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang juga Menteri Pertahanan meminta tentera laut untuk mempertimbangkan penundaan dalam pembelian dua kapal selam tambahan itu selama setahun. – AFP
