Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand tangkap 1.3 juta kilogram ikan invasif

    BANGKOK, 3 SEPT – Thailand telah menangkap lebih 1.3 juta kilogram ikan tilapia blackchin yang sangat merosakkan, kata kerajaan hari ini, ketika ia berusaha untuk membasmi spesies invasif ini.

    Kumpulan ikan tilapia blackchin, yang boleh menghasilkan sehingga 500 anak pada satu-satu masa, telah ditemui di 19 wilayah Thailand, merosakkan ekosistem di sungai, paya dan terusan dengan memakan ikan kecil, udang dan larva siput.

    Selain kesan ekologi, kerajaan juga bimbang tentang kesannya terhadap industri penternakan ikan yang penting bagi negara tersebut.

    Pihak berkuasa perikanan menangkap 1,332,000 kilogram ikan tilapia blackchin antara Februari dan 28 Ogos, menurut Nattacha Boonchaiinsawat, naib presiden jawatankuasa parlimen yang ditubuhkan untuk menangani penyebaran ikan tersebut.

    “Kami berbincang dengan penduduk tempatan dan mendapati bahawa penyebaran tilapia semakin teruk – mereka menemui ikan ini di terusan kecil, yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada AFP.

    Penyebaran tilapia akan membebankan ekonomi Thailand sekurang-kurangnya sebanyak AS$293 juta, kata Nattacha.

    Ikan ini, yang berasal dari Afrika Barat, pertama kali ditemui di sungai-sungai Thailand pada 2010 sebelum merebak dengan cepat pada 2018, dan kini turut ditemui di negeri Florida di Amerika Syarikat dan Filipina. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda