BANGKOK, 26 JAN – Pihak berkuasa Thailand menyediakan pengangkutan awam percuma di Bangkok selama seminggu bermula kelmarin sebagai langkah terbaharu untuk menangani tahap pencemaran udara yang semakin memburuk.
Langkah tersebut membolehkan orang ramai menaiki bas, kereta api elektrik, serta sistem pengangkutan bawah tanah tanpa bayaran. Langkah itu diharap dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pencemaran.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat, melahirkan kebimbangannya terhadap isu tersebut. Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani masalah itu melalui pendekatan jangka pendek dan panjang.
Pencemaran udara telah menjadi masalah bertahun-tahun di utara Thailand akibat pembakaran hutan dan sisa pertanian. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini,
Bangkok turut mengalami tempoh pencemaran tinggi, terutama ketika musim sejuk.
Partikel mikroskopik itu boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan bergerak lebih jauh ke dalam badan, menyebabkan masalah bronkus jangka pendek serta risiko kesihatan serius dalam jangka panjang.
Antara punca utama pencemaran ialah pelepasan kenderaan dan kilang, serta habuk dari tapak pembinaan.
Menurut perkhidmatan pemantauan komersial berpangkalan di Switzerland, IQAir, Bangkok berada pada kedudukan ke-14 dalam senarai bandar paling tercemar di dunia kelmarin, dengan kualiti udara yang dikategorikan sebagai hampir tidak sihat untuk semua.
Sebelum ini, Bangkok berada dalam senarai 10 bandar paling tercemar di dunia. – AP