BANGKOK, 7 FEB – Pihak berkuasa Thailand telah menerima 61 warga asing yang dipercayai mangsa perdagangan manusia dan operasi penipuan di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai kelmarin.
Individu yang diselamatkan termasuk 39 warganegara China, 13 warga India, lima warga Indonesia dan seorang masing-masing dari Ethiopia, Pakistan, Malaysia dan Kazakhstan, kata Phumtham semasa memantau penyerahan di sempadan Mae Sot di wilayah Tak, Thailand.
Setibanya mereka, individu-individu yang diselamatkan itu segera diletakkan di bawah jagaan agensi berkaitan dan akan melalui proses saringan untuk menentukan status mereka sebagai mangsa perdagangan manusia serta menilai sebarang kemungkinan penglibatan dalam aktiviti jenayah, tambahnya.
Sementara itu, agensi berita Myanmar melaporkan bahawa kerajaan Myanmar terus komited untuk bekerjasama dengan negara-negara jiran dan agensi antarabangsa untuk membasmi rangkaian penipuan dalam talian dan perjudian.
Usaha untuk mengumpul maklumat dari sumber tempatan dan serantau semakin diperkukuhkan dengan penekanan pada komunikasi cepat bagi sebarang maklumat relevan. Pendekatan komprehensif itu bertujuan untuk menghapuskan aktiviti jenayah tersebut dan memastikan keselamatan negara, menurut laporan tersebut. – Xinhua